Khamis, 28 Julai 2011

Kehilangan Yang Sukar Diganti

Setiap insan yang hidup di muka bumi ini pasti akan melalui kematian. Ianya adalah suatu pemergian yang abadi, pergi yang tiada kembali lagi ke dunia ini. Pemergian Allahyarham Raden K.H.Abdurrahman ke rahmatullah pada hari Jumaat, 22hb Julai 2011 adalah satu kerugian besar bagi masyarakat Bawean. Kehilangan ini amat dirasai oleh masyarakat Bawean di Singapura. Presiden serta ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Bawean Singapura (PBS) turut berduka-cita mendengar berita pemergian beliau.

Ucapan takziah dari pihak PBS telah disampaikan kepada keluarga Allahyarham Raden K.H.Abdurrahman melalui Media Bawean dan juga Ketua KTB, Pak Cuk Sugrito oleh Setiausaha Kehormat PBS, Puan Hajah Rohanah. Di ruang ini pihak PBS mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Raden K.H.Abdurrahman. Semuga Allah s.w.t. tinggikan darjat Allahyarham Raden K.H.Abdurrahman dan rahmati roh beliau sebagaimana yang telah diberikan kepada orang-orang yang beriman sebelumnya.

Siapakan Allahyarham Raden K.H.Abdurrahman? Ikuti catatan Media Bawean tulisan Encik Baharuddin.

In Memoriam KH. Raden Abdurrahman

Rabu, 27 Julai 2011

Anak-anak Silat Pencak Sendeng Singapura Menang!


Tahniah kepada anak-anak silat Perguruan Pencak Sendeng Singapura dibawah naungan Persatuan Bawean Singapura! Kami di PBS sangat gembira menerima berita bahawa anak-anak silat ini merangkumi sembilan buah pingat terdiri dari empat Perak dan lima Gangsa dalam Pertandingan Silat PSK 2011 di Jurong East Sports Hall pada hari Sabtu, 23hb Julai 2011.




Setiap usaha yang gigih akan membawa kejayaan serta kepuasaan yang menyeluruh dan kemenangan ini adalah bukti yang nyata.  Kepada anak-anak silat ini, semuga terus berjaya.  Teruslah berlatih dengan gigih untuk membina kemahiran dan kemantangan yang diperlukan semuga dapat meraihkan kemenangan yang lebih cermerlang di tahun-tahun hadapan.




Syabas! Kami di PBS mengucapkan selamat maju-jaya kepada semua anak-anak silat di Perguruan Pencak Sendeng Singapura. 

Isnin, 25 Julai 2011

Pertemuan PBS dengan Encik Sanif Olek


Pada hari Selasa, 19hb April 2011, PBS telah bertemu-janji dengan Encik Sanif Olek di Restoran Hajah Maimunah untuk jamuan makan tengah hari. Pertemuan yang diterima baik oleh Encik Sanif sangat bermakna bagi kedua-dua pihak.

Encik Sanif Olek, seorang berketurunan Bawean Singapura, tidak asing lagi di kalangan mereka yang berada di dalam dunia penerbitan filem.  Melalui kerjaya perfileman inilah, beliau telah menarik perhatian ahli-ahli jawatankuasa PBS. Beliau adalah seorang yang berkelulusan tinggi dan bertauliah di dunia penerbitan filem.

Usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Encik Sanif dapat dibanggakan oleh warga Singapura khususnya masyarakat Bawean Singapura. Beliau telah menggunakan kepandaian dan kemahiran yang ada untuk menyemarakkan nama baik bangsa dan negara. Filem terbitan beliau "Lost Sole" dan "Wajah-Wajah Bawean" diterima baik oleh masyarakat Bawean Singapura.

Filem "Lost Sole" adalah sebuah filem pendek yang telah ditayangkan di sebuah pesta filem antarabangsa dan memenangi anugerah "Filem Terbaik".  Filem yang diselitkan bahasa Bawean lakonan Mahadi Shor (lebih dikenali dengan nama pentasnya Obek Didi) bertutur dalam bahasa Bawean, kini telah menjelajah ke seluruh dunia dan mengenalkan bahasa dan bangsa Bawean kepada masyarakat asing. Filem ini juga ditayangkan khas di Museum of Modern Art (MOMA) di New York.

Filem "Wajah-Wajah Bawean" pula adalah sebuah filem dokumentri yang pernah ditayangkan di kaca televisyen rancangan Suria pada akhir tahun 1990an.  Filem ini memamparkan kehidupan di Pulau Bawean dimana rakaman dilakukan di pulau tersebut oleh Encik Sanif sendiri.  Usaha penggambaran Encik Sanif di pulau Bawean sangat dihargai oleh masyarakat Bawean Singapura yang setelah menonoton filem ini mengetahui tempat asal-usul datuk-moyang mereka.

Rancangan untuk menayangkan kedua-dua filem tersebut di majlis Anugerah Bawean Teladan yang akan di adakan pada 17hb September 2011 telah dibincangkan semasa pertemuan ini.  Encik Sanif kelihatan senang bertemu-ramah dengan Presiden PBS dan lima orang ahli jawatankuasanya.  Dengan tutur bahasa yang menyenangkan, beliau kelihatan sangat berminat untuk membantu PBS serta iklas memberi pandangan dan cadangan untuk menjayakan majlis anugerah ini.

Jumaat, 22 Julai 2011

Anugerah PBS 2011

Salam Lembaran 2009
Pada setiap dua tahun sekali, Persatuan Bawean Singapura (PBS) akan mengadakan penyampaian anugerah-anugerah PBS. Penyampaian ini lazimnya dilakukan di majlis Salam Lembaran PBS yang di adakan setiap tahun sempena perayaan Eid-ul-Fitr.  Majlis Salam Lembaran PBS pada tahun ini berupa Jamuan Teh di Hotel Furama.  Ianya akan diadakan pada tanggal 17hb September 2011.
Bawean Teladan 2006
Anugerah Bawean Teladan, Anugerah Bawean Jasawan dan Anugerah Bawean Cermerlang adalah di antara anugerah-anugerah yang pernah diberikan oleh PBS kepada anak-anak Bawean Singapura.  Pada tahun ini Anugerah Bawean  Jasawan International pula akan diperkenalkan. Anugerah ini akan diberikan kepada anak-anak Bawean warga asing yang telah banyak menabur jasa mereka kepada masyarakat.  Di antara anugerah-anugerah yang diberikan di majlis Salam Lembaran, Anugerah Bawean Teladan adalah anugerah yang unggul di mana hanya seorang sahaja yang layak menerimanya.
Bawean Teladan 2007
Anugerah Bawean Teladan ini adalah satu pengiktirafan dari PBS kepada anak-anak Bawean Singapura yang telah membuat pencapaian yang dapat dibanggakan oleh masyarakat Bawean.  PBS berharap anugerah ini dapat memberi dorongan kepada generasi muda Bawean Singapura untuk berusaha meningkatkan diri masing-masing ke tahap yang lebih tinggi di dalam menjalani penghidupan ini.
Bawean Teladan 2009
Pertama kali anugerah ini diadakan ialah pada tahun 1999.  Pada tahun itu, Encik Hj Ridzwan Dzafir, mantan Director-General, Trade Development Board yang juga pernah menjadi Presiden MUIS dan Duta Besar ke Bangladesh, telah menerima Anugerah Bawean Teladan yang pertama.  Kali terakhir penyampaian anugerah ini diadakan adalah pada tahun 2009. Penerima Anugerah Bawean Teladan pada tahun itu adalah Encik Suhaimi, seorang usahawan yang berjaya.
Tulisan mengenai Encik Hj Ridzwan Dzafir
Pada tahun ini, Anugerah Bawean Teladan 2011 akan diberikan kepada seorang yang sangat berbakat dan kreatif.  Dengan menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada, beliau telah memperkenalkan bangsa Bawean keseluruh dunia melalui kerjayanya.
Bawean Jasawan 2007
Persiapan-persiapan bagi acara penyampaian anugerah-anugerah PBS di majlis Salam Lembaran 2011 sedang giat dilakukan oleh ahli-ahli jawatankuasa PBS.  Tiket-tiket untuk menghadiri ke majlis ini  pula telah pun diusahakan dan akan siap tidak lama lagi.  Perkembangan selanjutnya akan dikhabarkan di blog ini dan juga di Facebook PBS.
Bawean Jasawan 2009

Rabu, 20 Julai 2011

Hari Kesihatan 2011


Alhamdulillah, Hari Kesihatan 2011 di Kelab Masyarakat Hong Kah North pada 17hb Julai, anjuran Persatuan Bawean Singapura (PBS) bersama Persekutuan Jawa Al-Masakin dan Hong Kah North MAEC telah mendapat sambutan yang baik. 



Hari Kesihatan ini bermula pada jam 9.00 pagi tetapi ramai yang telah datang awal.  Pada pukul 8.00 pagi ramai orang dari berbilang kaum telah beratur untuk membuat pendaftaran pemeriksaan kesihatan. Kira-kira seramai 180 orang yang telah menyertai pelbagai jenis pemeriksaan kesihatan.  Ini belum termasuk mereka yang datang mendengar ceramah kesihatan, mengikuti senaman jasmani (silat robik) dan menonton acara membuat Roti Bawean.




Di antara mereka yang mendaftar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, warga dari bangsa Tionghua yang paling ramai sekali. Dengan bayaran hanya dua dollar Singapura, para pendaftar pemeriksaan kesihatan ini dapat menjalani ujian tekanan darah, paras gula dalam darah, kolesterol, BMI dan rangka badan serta otot. 




Manakala dengan bayaran hanya lima belas dollar Singapura, khususnya mereka yang berumur lima puloh tahun ke atas dapat memperolehi ujian najis  bagi pencegahan penyakit colerectal cancer.  Bagi mereka yang merokok pula terdapat ujian isi kandungan racun dalam pernafasan.


Kepada mereka yang tidak dapat hadir pada tahun ini jangan lupa membuat kesempatan untuk menghadiri Hari Kesihatan anjuran kami pada tahun hadapan.  Luangkan masa anda untuk menilai kesihatan diri kerana ia penting untuk menjaga tubuh badan yang sihat.  




Kami dari pihak pengajur mengucapkan terima kasih kepada semua para hadirin terutama sekali kepada para sukarelawan yang terlibat bagi menjayakan Hari Kesihatan 2011 ini.   Hingga bertemu lagi pada tahun hadapan. Insya'Allah.

Isnin, 18 Julai 2011

Silaturrahim: PBS ke Batam


Pada 25hb June 2011, rombongan seramai 22 orang dari Persatuan Bawean Singapura (PBS) telah berkunjung ke Pulau Batam untuk menemui 'toghellen-toghellen' yang telah lama bermastautin di sana. Amalan Silaturrahim ini  adalah dari ajaran Islam yang mendidik manusia menjalin hubungan baik sesama sendiri bagi penghidupan yang aman dan bermakna di dunia ini. 


Selain dari menjalinkan ikatan silaturrahim ini, tujuan rombongan PBS ini ke sana adalah untuk bertemu pihak dari Ikatan Keluarga Bawean Batam (IKBB).  Kebetulan pada hari itu Bapak Baharuddin dari Kerukunan Toghellen Bawean (KTB) dari Pulau Bawean sedang berada di Batam menghadiri majlis pernikahan anak saudaranya.


Tujuan utama PBS bertemu dengan pihak IKBB adalah untuk membentuk satu kumpulan budaya Bawean dibawah kelolaan IKBB dan diberi sokongan kewangan oleh PBS.  Pertemuaan ini juga bertujuan untuk menilai mutu persembahan dari kumpulan budaya yang ada sekarang. Perbincangan bermula selepas masuknya waktu sholat Isyak dan berakhir pada kira-kira jam 12.00  tengah malam.


Dipenghujung perbincangan, PBS telah mengundang rombongan seramai 30 orang pegawai serta penghibur dari IKBB dan KTB untuk membuat persembahan di majlis penyampaian Anugerah Bawean Teladan  kelolaan PBS yang akan diadakan di Furama Hotel pada 17hb September 2011.


Rombongan PBS ke Batam ini, pulang ke Singapura pada keesokkan hari, 26hb June 2011.  Kini rancangan sedang dibuat oleh ahli jawatan-kuasa PBS untuk melawat Batam sekali lagi.  Kali ini untuk melihat acara persembahan yang akan dimuatkan di majlis penyampaian Anugerah Bawean Teladan yang akan datang. 

Khamis, 14 Julai 2011

Pengumuman: Hari Kesihatan PBS 2011

Persatuan Bawean Singapura dengan kerjasama Hong Kah North MAEC dan Persekutuan Jawa Al-Masakin akan menganjur Hari Kesihatan pada hari Ahad ini, 17hb Julai 2011 di Kelab Masyarakat Hong Kah North pada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Ada ceramah diet pemakanan sihat sewaktu bulan Ramadhan dan juga pemeriksaan kesihatan (health screening -stool kit, urine & smokers test) dari pakar perubatan Diabetic Society (percuma / yuran minima).
Mari bawa ibu bapa kita untuk menjalani pemeriksaan kesihatan ini agar mereka dapat berpuasa dengan konfiden.