Jumaat, 16 Disember 2011

Innalillahi Wa-inna Ilaihi Roji'un ... telah kembali Kiyai Haji Kassim Bin Adnan ke Rahmatullah

Pada hari Selasa tepat jam 12.11 pagi, 13hb Disember 2011, AJK PBS telah menerima berita sedih. Kiyai Haji Kassim Bin Adnan, Ustadz kesayangan ramai, terutama sekali mereka yang dari kalangan berketurunan Bawean warga Singapura, telah meninggal dunia pada 12hb Disember 2011 ketika hampir waktu sholat Maghrib. Pemergian beliau adalah suatu kehilangan besar yang sukar diganti. Allahyarham Kiyai Haji Kassim telah banyak berjasa kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura semasa hidupnya, terutama sekali di dalam bidang agama. Beliau adalah di antara penerima Anugerah Bawean Jasawan 2011 yang telah diadakan pada bulan September yang lepas. Ikuti laporan dari Media Bawean mengenai Allahyarham Kiyai Haji Kassim Bin Adnan.

Tokoh Sosial Asal Pulau Bawean Meninggal Dunia Di Singapura

Ucapan Takziah Kepada Ahli-Ahli Keluarga Kiyai Haji Kassim Bin Adnan


Takziah


Allahyarham Kiyai Haji Kassim Bin Adnan


Presiden dan seluruh Ahli Jawatankuasa
Persatuan Bawean Singapura


merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham
atas pemergian Allahyarham ke rahmatullah.

Kami mendoakan semoga Allah s.w.t.
mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni segala dosa-dosanya
serta menempatkan roh Allahyarham bersama roh para solihin.


Amin!
Ya Robbal Alaamin


Daripada:
PRESIDEN dan AHLI JAWATANKUASA
Persatuan Bawean Singapura

Jumaat, 4 November 2011

Pemergian Haji Mohamed Arifin ke Rahmatullah

Pada hari Sabtu, 29hb Oktober 2011, Presiden dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bawean Singapura (PBS) telah menerima berita tentang pemergian Haji Mohamed Arifin ke Rahmatullah. Allahyarham Haji Mohamed Arifin, mantan Naib Setiausaha PBS dan juga bekas Setiausaha serta Anggota Lembaga Pentadbir Masjid Alkaff Serangoon, telah meninggal dunia pada hari itu akibat serangan penyakit jantung. Jenazah allahyarham telah selamat dikebumikan pada tengahari, Ahad 30hb Oktober 2011. Ikuti laporan berikut mengenai allahyarham Haji Mohamed Arifin.

Tidak sempat pimpin wisata korban ke Batam

In Memoriam Haji Mohamed Arifin
Jauh Di Mata Tapi Dekat Di Hati

Ucapan Takziah Kepada Ahli-Ahli Keluarga Haji Mohamed Arifin bin Mohamed Salleh


Takziah

Allahyarham Haji Mohamed Arifin bin Mohamed Salleh
Mantan Naib Setiausaha
Persatuan Bawean Singapura 2006-2009


Presiden dan seluruh Ahli Jawatankuasa
Persatuan Bawean Singapura

merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham
atas pemergian Allahyarham ke rahmatullah.

Semoga mereka tetap bersabar dalam menghadapi saat sedih ini.

Kami mendoakan semoga Allah s.w.t.
mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni segala dosa-dosanya
serta menempatkan roh Allahyarham bersama roh para solihin.


Amin!
Ya Robbal Alaamin

Daripada:
PRESIDEN dan AHLI JAWATANKUASA
Persatuan Bawean Singapura

Isnin, 24 Oktober 2011

Masyarakat Bawean Singapura di Project Neighbourhood Episode 4

Khamis, 20hb Oktober 2011 jam 10.00 malam rancangan "Project Neighbourhood: Serangoon" arahan Saudara Sanif Olek telah ditayangkan di Okto Channel.  Di episod ke 4 ini telah diselitkan kewujudan kampung masyarakat Bawean Singapura pada masa silam di kawasan Serangoon "Little India".  Ayuh! Mari nonton rancangan ini. Sila petik di bawah untuk menonton...

Khamis, 6 Oktober 2011

Ucapan Takziah kepada Haji Bakri sekeluarga

Presiden dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bawean Singapura (PBS) telah menerima berita mengenai ayah kepada Haji Bakri yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 6hb Oktober 2011. Haji Bakri adalah salah seorang ahli jawatankuasa PBS yang juga mengetuai Kumpulan Pencak Sendeng Singapura.

Di ruang ini, kami di PBS merakamkan ucapan takziah kepada Haji Bakri sekeluarga di atas pemergian ayahanda yang tersayang. Kami mendoakan semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni segala dosa-dosanya serta menempatkan roh Allahyarham bersama roh para solihin. Aamiin.

Selasa, 4 Oktober 2011

Zulfa Osman, pengarang buku Pulau Putri dan Cerita Rakyat dari Bawean, meninggal dunia

Tarikh 1hb Oktober 2011, Presiden dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bawean Singapura (PBS) telah menerima berita melalui Media Bawean bahawa penulis buku ''Pulau Putri'' dan ''Cerita Rakyat dari Bawean'' telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 30 September 2011.




Di ruang ini, kami di PBS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Zulfa Osman. Kami mendoakan semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni segala dosa-dosanya serta menempatkan roh Allahyarham bersama roh para solihin. Aamiin.

Ikuti laporan dari Media Bawean melalui pautan berikut:-

Zulfa Usman (Kepala UPT Pendidkan)
Meningga Dunia Di Malang

Zulfa Usman (Kepala UPT Pendidkan)
Dimakamkan Di Gresik

Prosesi Pemakaman Zulfa
Dilepas Wabup Gresik

Zulfa Usman di Mata Tokoh

Jumaat, 30 September 2011

Pemergian yang tiada kembali

Pada 28hb September 2011, Presiden dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Persatuan Bawean Singapura (PBS) telah menerima berita sedih melalui halaman facebook PBS. Saudara Ibrahim Sawifi telah mengkhabarkan di halaman itu akan permergian penerima Bawean Teladan yang pertama, Allahyarham Haji Ridzwan Dzafir, ke rahmatullah -pemergian yang abadi, pergi yang tiada kembali lagi ke dunia ini.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh Cyberita, Almarhum Haji Ridzwan Dzafir, 84 tahun, telah meninggal dunia pada hari Rabu, 28hb September 2011 sekitar jam 8.10 pagi di Hospital Besar Singapura (SGH) kerana sakit jantung. Diberitakan juga, bahawa beliau telah menghidapi penyakit ginjal semenjak tahun 2005 dan telah menjalani rawatan di SGH sejak sebulan yang lalu.

Pemergian seorang insan yang sangat dibanggai oleh masyarakat Melayu/Islam Singapura ini, amat dirasai oleh mereka yang berketurunan Bawean di negara ini, terutama sekali kami di PBS -suatu kehilangan yang amat besar dan sukar diganti.

Ucapan Takziah Kepada Ahli-Ahli Keluarga Allahyarham Haji Ridzwan Dzafir



Takziah



Allahyarham Haji Ridzwan Dzafir


Presiden dan seluruh Ahli Jawatankuasa
Persatuan Bawean Singapura
merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham
atas pemergiannya ke rahmatullah.


Kami mendoakan semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengampuni segala dosa-dosanya serta menempatkan roh Allahyarham bersama roh para solihin.


Amiin!
Ya Robbal Alaamiin


Daripada:
PRESIDEN dan AHLI JAWATANKUASA
Persatuan Bawean Singapura

Selasa, 20 September 2011

Salam Lebaran dan Anugerah Bawean Teladan 2011 anjuran Persatuan Bawean Singapura



Alhamdulillah, Majlis Salam Lebaran Anugerah Bawean Teladan 2011 anjuran Persatuan Bawean Singapura (PBS) yang diadakan pada 17hb September, Sabtu lalu di Hotel Furama Riverfront telah berjalan dengan lancar dan meriah. Pada tahun ini empat kategori anugerah telah disampaikan. Anugerah Bawean Teladah, Anugerah Bawean Jasawan, Anugerah Rakan Bawean dan Anugerah Bawean Jasawan International.



Anugerah Bawean Teladan telah diberikan kepada Saudara Mohamad Sanif Olek, pembuat filem dan pengarah televisyen yang bertauliah dan berpengalaman. Filem-filem pendek karya dan arahan beliau telah berjaya merangkul pelbagai anugerah di persada seni setempat dan antarabangsa. Filem "Lost Sole" yang diselitkan dengan perbualan di dalam bahasa Bawean adalah di antara filem-filem pendek beliau yang telah ditayangkan di sebuah pesta filem antarabangsa dan berjaya memenangi anugerah filem terbaik.
 
Penerima Anugerah Bawean Teladan
Saudara Mohamad Sanif Olek
 
Penerima Anugerah Bawean Jasawan
Penyanyi Kassim Slamat

Anugerah Bawean Jasawan telah diberikan kepada penyanyi Kassim Slamat. Lagu ''La O Be'' nyanyian beliau pernah disenaraikan dalam carta lagu-lagu hits di negara Jerman pada tahun enam puluhan. Anugerah Bawean Jasawan juga telah diberikan kepada Kiyai Haji Kassim, seorang guru agama yang sangat dihormati di Singapura.  Beliau telah banyak memberi sumbangan kepada pembinaan masjid di Pulau Bawean. Anugerah ini juga telah diberikan kepada Haji Morni Sulaiman, bekas guru sekolah yang telah banyak menabur jasa di PBS, persatuan masyarakat Bawean Singapura.
  
Penerima Anugerah Bawean Jasawan
Kiyai Haji Kassim 

Penerima Anugerah Bawean Jasawan
Encik Haji Morni Sulaiman

Tahun ini, Anugerah Rakan Bawean telah diberikan kepada Mr Joe Pok yang telah banyak membantu PBS. Jasa-jasa beliau berkerjasama dengan masyarakat Bawean Singapura akan sentiasa dikenang.
 
Penerima Anugerah Rakan Bawean
Mr Joe Pok
 
Penerima Bawean Jasawan International
Drs Cuk Sugrito

Julung-julung kalinya pada tahun ini PBS telah memberikan anugerah kepada seorang dari luar negera. Anugerah Bawean Jasawan International telah diberikan kepada Drs Cuk Sugrito, seorang sarjana pendidikan dan ketua Kerukunan Toghellen Bawean (KTB) di Pulau Bawean, Indonesia. Beliau sangat dihormati oleh warga Pulau Bawean dan pihak pemerintah Indonesia.
   
Kumpulan seni dari Pulau Bawean


Pada hari penyampaian Anugerah PBS tahun ini, buat pertama kali para hadirin telah dihiburkan dengan persembahan-persembahan tradisional dari Pulau Bawean dan Batam. Kumpulan seni dibawah pimpinan Drs Cuk Sugrito, telah mempersembahkan tarian Mandiling dan Bata'a yang begitu unik dan mempersonakan. Begitu juga dengan kumpulan seni dari Batam yang dipimpin oleh Bapak Haji Mansur, ketua Ikatan Keluarga Bawean Batam (IKBB). Mereka telah membuat persembahan Kercengan dan Samrah.
  
Kumpulan seni dari Batam
 
Haji Bakri dan anak-anak silat cilik dari akademi
 Pencak Silat Sendeng Singapura

Selain dari tarian tradisional Bawean, pertunjukkan Pencak Silat juga telah diadakan. Pencak Silat Sendeng Singapura di bawah naungan PBS yang diketuai oleh Haji Bakri telah membuat persembahan di atas pentas bersama anak-anak silat cilik dari akademi silat tersebut.



Penyanyi undangan pada tahun ini terdiri dari artis-artis dari Indonesia. Persembahan penyanyi Jamal Mirdad begitu menyeronokkan dan sangat menghiburkan. Begitu juga dengan persembahan nyanyian Yangseku yang terdiri dari Fenty dan Putri. Ternyata mereka berdua mempunyai suara yang merdu dan sangat berbakat.



Keselurohan sambutan majlis Salam Lembaran dan Penyampaian Anugerah PBS 2011 sangat memuaskan. Di catatan ini, kami di PBS mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin sekalian dan tetamu undangan yang telah hadir memberi sokongan kepada majlis kami ini. Terima kasih juga kami ucapakan kepada toghellen-toghellen PBS iaitu KTB dari Pulau Bawean, IKBB dari Batam dan PBM Johor yang turut hadir dan bersama-sama kami menjayakan majlis ini.



Di ruang ini juga, PBS mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Salam Lembaran 2011 yang telah bertungkus lumus menghasilkan majlis yang meriah ini. Tidak lupa juga kepada ahli-ahli PBS yang lain yang telah turut menjayakan dan menyokong majlis ini. Terima Kasih semuanya!



Akhirkata kami di PBS memohon ma'af kepada semua jikalau ada kesilapan yang tidak disengajai dan kecacatan yang ada di majlis anjuran kami ini. Begitu juga, jika ada tidak kesempurnaan yang terdapat pada jamuan-jamuan yang kami sediakan, persembahan-persembahan yang kami adakan dan tidak kepuasan pada penampilan kami di majlis ini. Kami hanyalah manusia biasa seperti anda semua yang tidak terkecuali daripada kesilapan. Ucapan terima kasih sekali lagi dari kami, Presiden dan Ahli-Ahli Jawatankuasa PBS.

Selasa, 13 September 2011

Ketibaan Rombongan Seni Pualu Bawean di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi


Kami di Persatuan Bawean Singapura (PBS) mengucapkan Selamat Datang ke Singapura kepada Rombongan Seni dari Bawean, walaupun untuk sekejap.  Drs Cuk Sugrito bersama ahli-ahli kesenian pulau Bawean telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura kira-kira jam 2100 (waktu Singapura) dan terus berlepas menuju Kuala Lumpur, Malaysia untuk membuat persembahan di sana.  Mereka akan kembali ke Singapura pada 17hb September 2011  untuk bersama-sama menjayakan Majlis Salam Lebaran 2011 anjuran PBS. Kehadiran mereka kembali ke Singapura kami nantikan dengan besar hati.


Isnin, 12 September 2011

Rombongan Seni dari Pulau Bawean ke Singapura

Rombongan Seni dari Pulau Bawean telah berangkat menaiki kapal Express Bahari semalam, 11hb September 2011 menuju ke Singapura sebagaimana yang dilaporkan oleh Media Bawean.  Rombongan ini yang diketuai oleh Drs Cuk Sugrito di jangka tiba di Singapura pada pagi Sabtu ini, 17hb September untuk membuat persembahan di Salam Lembaran 2011 anjuran Persatuan Bawean Singapura (PBS). Majlis ini akan diadakan di Venus Ballroom Level 3, Furama Riverfront jam 2.00 petang hingga 5.00 petang. Ikuti lapuran sepenuhnya mengenai keberangkatan mereka di Media Bawean.

Selasa, 30 Ogos 2011

1 Syawal 1432H

Jelangnya 1 Syawal berakhirnya Ramadhan, semuga bertemu lagi di tahun hadapan.  Kami di Persatuan Bawean Singapura (PBS) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin pada semua pembaca di halaman kami. Di ruang ini melalui foto-foto di bawah, kami menyingkap kegiatan PBS di bulan Ramadhan yang barkah. Semuga ianya dapat diulangi pada Ramadhan yang akan datang dengan lebih baik lagi, Insya'Allah. Aamiin. 


Majlis Iftar Persatuan Bawean Singapura (PBS)
 bersama
MAEC Tampines West CC
dan
Persekutuan Jawa Al-Masakin (PJAM)
bertempat di Tampines West pada 12 Ogos 2011 


          



Majlis Iftar anjuran Fengshan CC MAEC
pada 20 Ogos 2011
disokong oleh
 Persatuan Bawean Singapura (PBS) 





Majlis Iftar anjuran Tampines Changkat CC MAEC
pada 21 Ogos 2011
disokong oleh
Persatuan Bawean Singapura (PBS) 




Isnin, 15 Ogos 2011

Undangan Dari Kedutaan Indonesia Singapura

Pada hari Selasa, 21hb June 2011, Tuan Haji Faizal Wahyuni, Presiden Persatuan Bawean Singapura (PBS) serta lima orang ahli anggota persatuan ini dengan besar hati telah menghadiri undangan dari Kedutaan Indonesia di Singapura.

Jamuam makan malam di Kedutaan Indonesia
Tujuan undangan ini adalah untuk membantu sekumpulan pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia membuat kajian mengenai masyarakat Bawean Singapura. Mereka berminat untuk mengetahui sejarah orang-orang Bawean menjadi warga Singapura.

Tuan Haji Morni, Tuan Haji Seain dan Tuan Haji Faizal
Antara soalan-soalan yang ditujukan oleh pegawai-pegawai tersebut kepada ahli-ahli PBS yang hadir pada petang itu ialah bagaimana masyarakat Bawean berhijrah ke Singapura. Jawapan yang tepat telah diberikan oleh Tuan Hj Pagi dan Tuan Hj Seain melalui pengalaman hidup mereka berhijrah ke Singapura pada tahun-tahun jajahan British sebelum dan sesudah perang dunia kedua.

Puan Hajah Rohanah, Setiausaha Kehormat PBS 
Rombongan dari kementerian Indonesia ini serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Indonesia yang hadir pada sesi itu, sangat kagum mendengar keterangan-keterangan yang diberikan oleh Tuan Haji Faizal dan ahli-ahli anggota PBS, terutama sekali mengenai angka penduduk Singapura yang berketurunan Bawean.

Di rumah Tuan Haji Pagi
Pegawai-pegawai tersebut juga tertarik dengan keterangan-keterangan yang diberikan mengenai budaya orang-orang Bawean yang suka menolong sesama sendiri didalam segala pekara. Mereka sangat berminat mendengar keterangan mengenai "Institusi Pondok" yang memberi gambaran tepat akan wujudnya kebudayan ini serta menunjukkan bahawa orang-orang Bawean tidak miskin ilmu terutama sekali dalam hal-hal ugama dan tidak cetek pengalaman serta bijak dalam membuat sesuatu keputusan.

Bekas Pondok Pakerpung, No 88, Desker Road  
Di penghujung sesi itu, Tuan Hj Pagi telah menjemput pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayan dan Pelancongan Indonesia itu ke rumah beliau pada esok hari. Undangan ini disambut baik oleh mereka. Di rumah Tuan Hj Pagi mereka telah mendapat lebih banyak bahan-bahan rujukan yang diperlukan mengenai masyarakat Bawean Singapura.

Bekas pondok-pondok Di-ponggo di kawasan Kampong Kapor
Setelah selesai berbicara mengenai orang-orang Bawean, mereka dibawa melawat ke tapak bekas Kampung Bawean di kawasan Kampong Kapor. Di sinilah mereka mendapat gambaran yang lebih tepat mengenai penghidupan masyarakat Bawean yang tinggal di pondok-pondok Bawean pada tahun-tahun jajahan British hinggalah pada tahun 1997 di mana kehidupan pondok di Kampong Kapor berakhir setelah URA mengambil alih kawasan ini pada tahun itu.

Puan Hajah Junaidah bersama pegawai dari kementerian Indonesia
di hadapan bekas pondok Kalompang Gubug, 35 Upper Weld Road