Selasa, 20 September 2011

Salam Lebaran dan Anugerah Bawean Teladan 2011 anjuran Persatuan Bawean Singapura



Alhamdulillah, Majlis Salam Lebaran Anugerah Bawean Teladan 2011 anjuran Persatuan Bawean Singapura (PBS) yang diadakan pada 17hb September, Sabtu lalu di Hotel Furama Riverfront telah berjalan dengan lancar dan meriah. Pada tahun ini empat kategori anugerah telah disampaikan. Anugerah Bawean Teladah, Anugerah Bawean Jasawan, Anugerah Rakan Bawean dan Anugerah Bawean Jasawan International.



Anugerah Bawean Teladan telah diberikan kepada Saudara Mohamad Sanif Olek, pembuat filem dan pengarah televisyen yang bertauliah dan berpengalaman. Filem-filem pendek karya dan arahan beliau telah berjaya merangkul pelbagai anugerah di persada seni setempat dan antarabangsa. Filem "Lost Sole" yang diselitkan dengan perbualan di dalam bahasa Bawean adalah di antara filem-filem pendek beliau yang telah ditayangkan di sebuah pesta filem antarabangsa dan berjaya memenangi anugerah filem terbaik.
 
Penerima Anugerah Bawean Teladan
Saudara Mohamad Sanif Olek
 
Penerima Anugerah Bawean Jasawan
Penyanyi Kassim Slamat

Anugerah Bawean Jasawan telah diberikan kepada penyanyi Kassim Slamat. Lagu ''La O Be'' nyanyian beliau pernah disenaraikan dalam carta lagu-lagu hits di negara Jerman pada tahun enam puluhan. Anugerah Bawean Jasawan juga telah diberikan kepada Kiyai Haji Kassim, seorang guru agama yang sangat dihormati di Singapura.  Beliau telah banyak memberi sumbangan kepada pembinaan masjid di Pulau Bawean. Anugerah ini juga telah diberikan kepada Haji Morni Sulaiman, bekas guru sekolah yang telah banyak menabur jasa di PBS, persatuan masyarakat Bawean Singapura.
  
Penerima Anugerah Bawean Jasawan
Kiyai Haji Kassim 

Penerima Anugerah Bawean Jasawan
Encik Haji Morni Sulaiman

Tahun ini, Anugerah Rakan Bawean telah diberikan kepada Mr Joe Pok yang telah banyak membantu PBS. Jasa-jasa beliau berkerjasama dengan masyarakat Bawean Singapura akan sentiasa dikenang.
 
Penerima Anugerah Rakan Bawean
Mr Joe Pok
 
Penerima Bawean Jasawan International
Drs Cuk Sugrito

Julung-julung kalinya pada tahun ini PBS telah memberikan anugerah kepada seorang dari luar negera. Anugerah Bawean Jasawan International telah diberikan kepada Drs Cuk Sugrito, seorang sarjana pendidikan dan ketua Kerukunan Toghellen Bawean (KTB) di Pulau Bawean, Indonesia. Beliau sangat dihormati oleh warga Pulau Bawean dan pihak pemerintah Indonesia.
   
Kumpulan seni dari Pulau Bawean


Pada hari penyampaian Anugerah PBS tahun ini, buat pertama kali para hadirin telah dihiburkan dengan persembahan-persembahan tradisional dari Pulau Bawean dan Batam. Kumpulan seni dibawah pimpinan Drs Cuk Sugrito, telah mempersembahkan tarian Mandiling dan Bata'a yang begitu unik dan mempersonakan. Begitu juga dengan kumpulan seni dari Batam yang dipimpin oleh Bapak Haji Mansur, ketua Ikatan Keluarga Bawean Batam (IKBB). Mereka telah membuat persembahan Kercengan dan Samrah.
  
Kumpulan seni dari Batam
 
Haji Bakri dan anak-anak silat cilik dari akademi
 Pencak Silat Sendeng Singapura

Selain dari tarian tradisional Bawean, pertunjukkan Pencak Silat juga telah diadakan. Pencak Silat Sendeng Singapura di bawah naungan PBS yang diketuai oleh Haji Bakri telah membuat persembahan di atas pentas bersama anak-anak silat cilik dari akademi silat tersebut.



Penyanyi undangan pada tahun ini terdiri dari artis-artis dari Indonesia. Persembahan penyanyi Jamal Mirdad begitu menyeronokkan dan sangat menghiburkan. Begitu juga dengan persembahan nyanyian Yangseku yang terdiri dari Fenty dan Putri. Ternyata mereka berdua mempunyai suara yang merdu dan sangat berbakat.



Keselurohan sambutan majlis Salam Lembaran dan Penyampaian Anugerah PBS 2011 sangat memuaskan. Di catatan ini, kami di PBS mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin sekalian dan tetamu undangan yang telah hadir memberi sokongan kepada majlis kami ini. Terima kasih juga kami ucapakan kepada toghellen-toghellen PBS iaitu KTB dari Pulau Bawean, IKBB dari Batam dan PBM Johor yang turut hadir dan bersama-sama kami menjayakan majlis ini.



Di ruang ini juga, PBS mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Salam Lembaran 2011 yang telah bertungkus lumus menghasilkan majlis yang meriah ini. Tidak lupa juga kepada ahli-ahli PBS yang lain yang telah turut menjayakan dan menyokong majlis ini. Terima Kasih semuanya!



Akhirkata kami di PBS memohon ma'af kepada semua jikalau ada kesilapan yang tidak disengajai dan kecacatan yang ada di majlis anjuran kami ini. Begitu juga, jika ada tidak kesempurnaan yang terdapat pada jamuan-jamuan yang kami sediakan, persembahan-persembahan yang kami adakan dan tidak kepuasan pada penampilan kami di majlis ini. Kami hanyalah manusia biasa seperti anda semua yang tidak terkecuali daripada kesilapan. Ucapan terima kasih sekali lagi dari kami, Presiden dan Ahli-Ahli Jawatankuasa PBS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan