Selasa, 30 Ogos 2011

1 Syawal 1432H

Jelangnya 1 Syawal berakhirnya Ramadhan, semuga bertemu lagi di tahun hadapan.  Kami di Persatuan Bawean Singapura (PBS) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin pada semua pembaca di halaman kami. Di ruang ini melalui foto-foto di bawah, kami menyingkap kegiatan PBS di bulan Ramadhan yang barkah. Semuga ianya dapat diulangi pada Ramadhan yang akan datang dengan lebih baik lagi, Insya'Allah. Aamiin. 


Majlis Iftar Persatuan Bawean Singapura (PBS)
 bersama
MAEC Tampines West CC
dan
Persekutuan Jawa Al-Masakin (PJAM)
bertempat di Tampines West pada 12 Ogos 2011 


          



Majlis Iftar anjuran Fengshan CC MAEC
pada 20 Ogos 2011
disokong oleh
 Persatuan Bawean Singapura (PBS) 





Majlis Iftar anjuran Tampines Changkat CC MAEC
pada 21 Ogos 2011
disokong oleh
Persatuan Bawean Singapura (PBS) 




Isnin, 15 Ogos 2011

Undangan Dari Kedutaan Indonesia Singapura

Pada hari Selasa, 21hb June 2011, Tuan Haji Faizal Wahyuni, Presiden Persatuan Bawean Singapura (PBS) serta lima orang ahli anggota persatuan ini dengan besar hati telah menghadiri undangan dari Kedutaan Indonesia di Singapura.

Jamuam makan malam di Kedutaan Indonesia
Tujuan undangan ini adalah untuk membantu sekumpulan pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia membuat kajian mengenai masyarakat Bawean Singapura. Mereka berminat untuk mengetahui sejarah orang-orang Bawean menjadi warga Singapura.

Tuan Haji Morni, Tuan Haji Seain dan Tuan Haji Faizal
Antara soalan-soalan yang ditujukan oleh pegawai-pegawai tersebut kepada ahli-ahli PBS yang hadir pada petang itu ialah bagaimana masyarakat Bawean berhijrah ke Singapura. Jawapan yang tepat telah diberikan oleh Tuan Hj Pagi dan Tuan Hj Seain melalui pengalaman hidup mereka berhijrah ke Singapura pada tahun-tahun jajahan British sebelum dan sesudah perang dunia kedua.

Puan Hajah Rohanah, Setiausaha Kehormat PBS 
Rombongan dari kementerian Indonesia ini serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Indonesia yang hadir pada sesi itu, sangat kagum mendengar keterangan-keterangan yang diberikan oleh Tuan Haji Faizal dan ahli-ahli anggota PBS, terutama sekali mengenai angka penduduk Singapura yang berketurunan Bawean.

Di rumah Tuan Haji Pagi
Pegawai-pegawai tersebut juga tertarik dengan keterangan-keterangan yang diberikan mengenai budaya orang-orang Bawean yang suka menolong sesama sendiri didalam segala pekara. Mereka sangat berminat mendengar keterangan mengenai "Institusi Pondok" yang memberi gambaran tepat akan wujudnya kebudayan ini serta menunjukkan bahawa orang-orang Bawean tidak miskin ilmu terutama sekali dalam hal-hal ugama dan tidak cetek pengalaman serta bijak dalam membuat sesuatu keputusan.

Bekas Pondok Pakerpung, No 88, Desker Road  
Di penghujung sesi itu, Tuan Hj Pagi telah menjemput pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayan dan Pelancongan Indonesia itu ke rumah beliau pada esok hari. Undangan ini disambut baik oleh mereka. Di rumah Tuan Hj Pagi mereka telah mendapat lebih banyak bahan-bahan rujukan yang diperlukan mengenai masyarakat Bawean Singapura.

Bekas pondok-pondok Di-ponggo di kawasan Kampong Kapor
Setelah selesai berbicara mengenai orang-orang Bawean, mereka dibawa melawat ke tapak bekas Kampung Bawean di kawasan Kampong Kapor. Di sinilah mereka mendapat gambaran yang lebih tepat mengenai penghidupan masyarakat Bawean yang tinggal di pondok-pondok Bawean pada tahun-tahun jajahan British hinggalah pada tahun 1997 di mana kehidupan pondok di Kampong Kapor berakhir setelah URA mengambil alih kawasan ini pada tahun itu.

Puan Hajah Junaidah bersama pegawai dari kementerian Indonesia
di hadapan bekas pondok Kalompang Gubug, 35 Upper Weld Road

Isnin, 8 Ogos 2011

Pertemuan Yang Bermanfaat


Pertemuan di antara beberapa orang ahli Persatuan Bawean Singapura (PBS) dan dua orang pelajar NUS pada hari Sabtu, 9hb April 2011, kira-kira pada jam 3.00 petang telah membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.  Satu tulisan mengenai masyarakat Bawean Singapura telah dihasilkan oleh pelajar berkenanan dan satu blog baru telah diterbitkan oleh PBS dengan bertujuan untuk mengabadikan pusaka warisan orang-orang Bawean Singapura. 

Beberapa hari sebelum pertemuan itu, PBS telah menerima e-mail dari seorang pelajar NUS yang ketika itu sedang membuat kajian mengenai masyarakat Bawean di Singapura.  Pelajar berkenaan berhasrat untuk berjumpa ahli-ahli jawatankuasa PBS dengan tujuan untuk diwawancara.  Pertemuaan itu yang diusahakan oleh Tuan Haji Seain, mantan Setiausaha Agung PBS, bertempat di restoran Rumah Makan Minang bersebelahan dengan Masjid Sultan dan berhadapan dengan Taman Warisan.  Di antara soalan-soalan yang dikemukakan adalah perkara-perkara mengenai PBS dan cara penghidupan masyarakat Bawean di pondok-pondok Bawean ketika zaman jajahan British.  

Selepas wawancara itu, ahli-ahli PBS telah menziarahi Taman Warisan.  Di situlah terbitnya ilham untuk mengusahakan blog "Muzium PBS" yang merupakan sebuah muzium di dunia cyber.  Seiring dengan blog "Ordik PBS" ini,  "Muzium PBS" akan mengarkibkkan segala perkara-perkara yang diketahui mengenai masyarakat Bawean Singapura dengan sebaik mungkin, Insya'Allah.

Di ruang ini, Presiden dan ahli-ahli jawatankuasa PBS yang hadir pada sesei wawancara itu mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudari Norhafizah, mahasiswa NUS tersebut, kerana berminat membuat kajian berkenaan masyarakat Bawean Singapura dan persatuannya. Di halaman ini juga, ucapan terima kasih ditujukan kepada Tuan Haji Pagi serta isteri dan ahli keluarganya yang lain kerana sudi meluangkan masa menghadiri wawacara tersebut. 

Rabu, 3 Ogos 2011

Penjualan tiket Salam Lembaran 2011


Penjualan tiket-tiket Salam Lembaran 2011 telah bermula.  Marilah kita hadiri dan meriahi majlis perayaan Eid-ul-Fitr anjuran Persatuan Bawean Singapura (PBS).  Jangan ketinggalan untuk menyaksikan penyampaian anugerah-anugerah PBS serta berhibur dengan pertunjukkan seni-budaya masyarakat Bawean sambil menikmati jamuan yang disediakan. Dapatkanlah  tiket-tiket anda sebelum kehabisan dengan harga S$55.00 seorang. Kepada yang berminat sila hubungi Encik Asmawi di talian talipon 97845011 atau Encik Mohd. Shukri di talian talipon 96788265.

Isnin, 1 Ogos 2011

Selamat Menyambut Ramadhan 1432 Hijrah

Pada hari ini, 1hb Ogos 2011 bersamaan 1 Ramadhan 1432H, umat Islam di Singapura mula berpuasa.  Alhamdulillah, kita diberi kesempatan bertemu Ramadhan sekali lagi.  Kehadiranya sangat-sangat dinantikan oleh umat Islam di seluruh dunia.  Di bulan yang mulia penuh berkah ini, para muslimin yang beriman mengabdikan diri, masing-masing mengejar masa beribadah untuk merebut pahala yang berganda-ganda. 

Di dalam bulan Ramadhan inilah terdapatnya satu malam yang teristimewa, malam Lailat-ul-Qadr, malam yang penuh dengan rahmat Allah Yang Maha Kaya.  Malam Lailat-ul-Qadr adalah satu malam khas, kurniaan Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang kepada umat Nabi Muhammad s.a.w., rasul junjungan kami, nabi akhir zaman.  Pada malam Lailat-ul-Qadr segala ibadah yang dilakukan sama ganjarannya seperti beribadah seribu bulan. 

Semuga di bulan Ramadhan ini kita berada didalam kesihatan, ditingkatkan kesabaran dan diberikan kekuatan untuk beribadah serta beramal sebanyak dan sebaik mungkin, mengumpul pahala untuk bekalan dan persediaan bagi penghidupan yang kekal abadi di sisi Allah Yang Maha Agung. Semuga Allah Yang Maha Esa mengurniakan kita semua, malam Lailat-ul-Qadr, mengampunkan segala dosa-dosa kita dan menempatkan roh-roh kita di syurga kelak. Aameen.

Kepada semua para pembaca Muslim di halaman ini, kami di Persatuan Bawean Singapura (PBS) mohon maaf atas kesalahan dan kesilapan yang tidak disedari.  Kami mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan melaksanakan ibadah puasa.