Rabu, 30 Mac 2011

Molod Warga Bawean Berentang Kota, Negara, Benua 2011

Alhamdulillah, perayaan Molod Warga Bawean Berentang Kota, Negara, Benua 2011 di Pulau Bawean telah dirayai dengan jayanya sebagaimana laporan dari Media Bawean. Perayaan yang bermula pada hari Jumaat, 17hb March hingga hari Ahad, 20hb March ini  telah membabitkan beberapa orang tokoh keturunan Bawean untuk berhimpun di Pulau Putri ini.  Malangnya wakil PBS, Tuan Hj Abdul Razak hanya sempat bertemu para jemputan majlis perayaan Molod Bawean ini di Gersik. Beliau tidak dapat berangkat bersama mereka ke Pulau Bawean disebabkan berakhirnya tempoh masa lawatan beliau di Jawa Timur.  Oleh kerana itu, amanah yang dibawanya dari Singapura telah dikirimkan kepada mereka untuk disampaikan di majlis perayaan ini.  Ianya adalah sepucuk surat berisi ikrar dari PBS untuk menyumbang minima 10 juta rupiah setiap tahun kepada Dana Pelajaran untuk dikumpulkan bagi membantu anak-anak Bawean yang berbakat. Sila baca berita dari Media Bawean untuk laporan penuh.

Isnin, 7 Mac 2011

Molod Bawean International 2011 ditunda lagi

AJK PBS telah menerima maklumat terkini dari Pak Cuk Sugrito semalam, mengenai perkembangan perayaan Molod Bawean International 2011.  Beliau melapurkan bahawa tarikh yang telah ditetapkan untuk perayaan ini telah ditunda sekali lagi, kali ini ke tarikh 20hb March 2011 dan tiada perubahan pada urutan acara.  Menurut beliau, ini disebabkan oleh gelombang laut yang masih besar di Laut Jawa dan kapal menuju ke Pulau Bawean masih tidak boleh belayar hingga hari ini.
Pulau Bawean terletak di tengah Laut Jawa antara Tanah Besar Jawa dan Pulau Borneo
Sebelum ini AJK PBS menerima berita yang serupa serta lapuran Shahbandar berkenaan tidak kepastian keberangkatan kapal menuju ke Pulau Bawean disebabkan gelombang laut yang tinggi dan penganjur  membuat keputusan menangguhkan perayaan ini ke tarikh yang lain.

Ahad, 6 Mac 2011

Pencak Sendeng Singapura: Acara Tandingan Percubaan 2011

Perguruan Pencak Sendeng Singapura telah mengadakan acara tanding percubaan bersama Perguruan Sendeng Belalang dan Sendeng Pukolan di Balai Rakyat Kampung Glam siang tadi, 6hb March 2011 jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam. Menurut Encik Hj Bakri Salmat, Guru Utama Perguruan Pencak Sendeng, acara tandingan ini adalah untuk pesilat-pesilat yang akan bertanding di Kejohanan Johor Bahru yang akan diadakan pada 15hb March 2011 hingga 20hb March 2011.







Molod Bawean International 2011 ditunda

PBS telah menerima berita dari pihak penganjur bahawa Perayaan Molod Warga Bawean Berentang Kota Negara Benua Kedua telah ditunda pada 10hb March hingga 14hb March 2011.  Juga telah diberitakan bahawa acara kegiatan yang telah direncanakan pada hari-hari tersebut ialah beberapa acara Silaturrahim, Pertandingan Sepak Takraw, Pertunjukan Seni Khas Bawean, Pertandingan Pencak Silat, Majlis Dzikir serta Maulidur Rasul dan Ziarah ke Makam Bersejarah.  Semuga Perayaan Molod Bawean International pada tahun ini berjalan sebagaimana yang dirancangkan.