Isnin, 25 Julai 2011

Pertemuan PBS dengan Encik Sanif Olek


Pada hari Selasa, 19hb April 2011, PBS telah bertemu-janji dengan Encik Sanif Olek di Restoran Hajah Maimunah untuk jamuan makan tengah hari. Pertemuan yang diterima baik oleh Encik Sanif sangat bermakna bagi kedua-dua pihak.

Encik Sanif Olek, seorang berketurunan Bawean Singapura, tidak asing lagi di kalangan mereka yang berada di dalam dunia penerbitan filem.  Melalui kerjaya perfileman inilah, beliau telah menarik perhatian ahli-ahli jawatankuasa PBS. Beliau adalah seorang yang berkelulusan tinggi dan bertauliah di dunia penerbitan filem.

Usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Encik Sanif dapat dibanggakan oleh warga Singapura khususnya masyarakat Bawean Singapura. Beliau telah menggunakan kepandaian dan kemahiran yang ada untuk menyemarakkan nama baik bangsa dan negara. Filem terbitan beliau "Lost Sole" dan "Wajah-Wajah Bawean" diterima baik oleh masyarakat Bawean Singapura.

Filem "Lost Sole" adalah sebuah filem pendek yang telah ditayangkan di sebuah pesta filem antarabangsa dan memenangi anugerah "Filem Terbaik".  Filem yang diselitkan bahasa Bawean lakonan Mahadi Shor (lebih dikenali dengan nama pentasnya Obek Didi) bertutur dalam bahasa Bawean, kini telah menjelajah ke seluruh dunia dan mengenalkan bahasa dan bangsa Bawean kepada masyarakat asing. Filem ini juga ditayangkan khas di Museum of Modern Art (MOMA) di New York.

Filem "Wajah-Wajah Bawean" pula adalah sebuah filem dokumentri yang pernah ditayangkan di kaca televisyen rancangan Suria pada akhir tahun 1990an.  Filem ini memamparkan kehidupan di Pulau Bawean dimana rakaman dilakukan di pulau tersebut oleh Encik Sanif sendiri.  Usaha penggambaran Encik Sanif di pulau Bawean sangat dihargai oleh masyarakat Bawean Singapura yang setelah menonoton filem ini mengetahui tempat asal-usul datuk-moyang mereka.

Rancangan untuk menayangkan kedua-dua filem tersebut di majlis Anugerah Bawean Teladan yang akan di adakan pada 17hb September 2011 telah dibincangkan semasa pertemuan ini.  Encik Sanif kelihatan senang bertemu-ramah dengan Presiden PBS dan lima orang ahli jawatankuasanya.  Dengan tutur bahasa yang menyenangkan, beliau kelihatan sangat berminat untuk membantu PBS serta iklas memberi pandangan dan cadangan untuk menjayakan majlis anugerah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan