Khamis, 12 Julai 2012

E-Flyer 13 Julai 2012 -"Perjumpaan: Riwayat Hidup Kampung Gelam-Rochor-Kallang"


Baru-baru ini, ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Bawean Singapura (PBS) telah menerima berita berkenaan satu perjumpaan yang akan berlangsung di Auditorium Masjid Sultan pada hari esok, Jumaat, 13hb Julai 2012, jam 8.00 malam hingga 10.00 malam.
 
Pertemuan ini diadakan oleh Dr Imran Tajudeen dan Saudara Daeng Farhan serta beberapa anggota masyarakat yang perihatin tentang warisan masyarakat Melayu Nusantara. Ianya merupakan usaha awal untuk mengumpulkan warisan sejarah masyarakat Melayu Nusantara yang pernah memainkan peranan sosial dan ekonomi di persekitaran kawasan Kampung Gelam.
 
Dr Imran Tajudeen pernah bertemu dengan Encik Haji Morni, salah seorang dari ahli jawatankuasa PBS, pada 31hb Mei 2012. Mereka berkongsi maklumat berkenaan Masyarakat Bawean secara umum dan juga berkenaan Masjid Bawean di Weld Road.
 
Menurut Encik Haji Morni, masyarakat Bawean, seperti juga masyarakat Banjar, Bugis, Jawa dan Minangkabau pernah bermastautin di persekitaran Kampung Gelam.  Beliau juga menerangkan bahawa di dalam buku Allahyarham Haji Ridzwan Dzafir, -From Pondok Boy to Singapore's "Mr ASEAN",  Allahyarham ada menyebut Pondok Sungei Topo yang terletak di Jalan Klapa. Menurut beliau lagi, Allahyarham ada juga menyebut Pondok Sangkapura dan Pondok Daun yang terletak di kawasan Kampung Gelam.
 
Encik Haji Morni juga menerangkan bahawa selain dari pondok-pondok tersebut ada beberapa buah pondok lain yang terdapat di kawasan Minto Road dan Tekka. Menurut beliau masyarakat Bawean turut memainkan peranan menyemarakan dakwah Islam dengan membangunkan Masjid Bawean di Weld Road.
 
Kepada masyarakat Bawean Singapura yang memiliki maklumat berkaitan warisan yang disebut di atas, di harap anda dapat turut serta dalam pertemuan ini dan berkongsi maklumat dalam usaha mengumpul sejarah warisan masyarakat Melayu Nusantara. Sekian, terima kasih.
Ringkasan Sejarah Gelam-Rochor-Kallang

PERJUMPAAN 13 Julai 2012 – Kampung Gelam-Rochor-Kallang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan